Kehidupan adalah anugerah utama Illahi. Anugerah kehidupan memberi gambaran kebesaranNya buat kita manusia, yang wajib kita syukuri dan hargai. Internet adalah kemudahan buat umat manusia. Justeru itu, manafaatkan ia untuk kesejahteraan diri kita dan umat sejagat. Sentiasalah kita beringat, apa yang kita lakukan, akan dipertanggung jawabkan pada kemudian hari.

Gunakan sebaik-baiknya kurnia Allah swt kepada kita. Halalkan kegunaan akal, hati dan lidah pada perkara yang bakal membawa kecemerlangan diri kita dunia dan akhirat. Kita hidup hanya sekali. Sekali 'pergi' tak kan kembali. Buat baik berpada-pada, dan buat jahat JANGAN sekali-kali. Kewujudan website mymedia2u dengan blog sebagai wadah untuk meningkatkan nilai diri. Bermatlamatkan penyatuan ummah dengan ciri-ciri kemurnian budi dan budaya. Walaupun, dunia terus maju dengan teknologi, kita akan terus kekal dengan akhlak dan jati diri insani.

Sunday, March 27, 2011

BiaR BuLan MenJadi SaKsi


Prolog
Kata orang, kehidupan ini beginilah. Lumrah hidup..kan kan kan?...Kita sentiasa maju ke hadapan dan sememangnya fitrah untuk kita meningkat dalam serba-serbi. Apabila ia adalah fitrah, maka hendak atau tidak, tak dapatlah pula kita hendak menghalang. Kemajuan ini ada yang kalau di bawah, ia meningkat makin naik ke atas hingga membelah langit tidak terjulang. Kalau di belakang, ia kehadapan pula agar sama-sama berdiri tinggi tiada beza, duduk tidaklah terlalu rendah hendaknya. Kata-kata orang ini tidak dapat dipastikan daripada masa asal usul dan siapa si penuturnya. Yang pasti, penduduk kampung semakin dikonkritkan dengan seribu satu macam bukti akhir-akhir ini lalu menerimanya bulat-bulat.

Di Kampung Indah dalam Negeri Wujud, semuanya aman.>>>(rekaan semata-mata). . Tiada perbalahan langsug. Jika ada sekalipun, hanyalah bandar dan ia kes terpencil yang jarang dapat diketahui penduduk kampung. Sama ada dipencilkan atau gerakan itu sendiri merupakan haluan bawah tanah, cuba menyusup perlahan-lahan bagai angin lembut dalam halusnya membelai kemudian membadai ganas. Bukanlah sesuatu yang penting kerana seperti semalam dan malam semalam sebelumnya, penduduk kampung ini hidup aman harmoni dan lebih gembira endah tak endah sahaja.>>(kun fayakun).. Hal ini sdudah dipupuk oleh orang tua mereka sejak kecil lagi.. "Berdiamlah - diam itu emas sedang hanya orang bodoh suka bicara kosong."

Tetapi Pak Tua sejak akhir-akhir ini semakin susah pula hidup di kampung yang telah didudukinya dengan aman harmoni sejak kecil lagi. Semalam, khabarnya terjadi kenaikan yang baru. Kenaikan yang ditunggu. Tetapi dia sabar amat dan tahu benar. Semua ini tidak lain tidak bukan adalah demi kemajuan juga. Hal ini dia yakini dan tak akan mempersalahkan sesiapa walau sekelumit pun. Kerana memang inilah yang telah ditanam dalam minda seisi negeri sekian lamanya.

Pak Tua
SEBAGAI pesara nelayan yang pergi ke laut ketika embun baru hendak meluncur dan membulat di hujung rumput lewat subuh setiap hari, dia sememangnya cukup terkesan dengan kenaikan minyak. Tidak kiralah sebanyak mana sekalipun. Jadi, pagi ini dia tekad untuk kembali ke laut. Gigi Pak Tua bergemelatak. Usai mandi dan mengambil wuduk, perlahan-lahan dia menghampar sejadah kusam ke lantai rumah papannya. Mak Tua masih tidur. Dia tidak mahu mengganggu lenanya mimpi yang mengalun kerana dia sayang benar pada Mak Tua.

Sebentar lagi bangunlah tu. Bisik hati kecilnya. Dia mengusap-usap kepala Mak Tua sesudah selesai zikir dan doa. Pergerakannya perlahan-lahan menuju ke dapur untuk menyediakan sarapan bagai seorang seniman memimpin simfoni sebuah kematian. Perlahan dan makmur. Walau klimaksnya agak sedikit terganggu tatkala si oren, kucing kampung yang dibela sekian lama, mencakar-cakar manja kakinya meminta.
“Oren, kesegalaanmu adalah makanan. Pagi, petang hingga malam meminta makanan. Sedangkan kesegalaanku ada dua. Akhirat dan dunia. Tetapi, dunia kini memperhambakanku jadi sepertimu.” Orang tua itu mengeluh seraya memberi sedikit bahagian sarapannya kepada Oren. Luahan yang sudah terbeban lama tanpa ada siapa yang hendak mendengar lagi.

Rutin hariannya diteruskan. Walau terkedek-kedek, dia gagahi segala sisa yang ada untuk menarik bot. Selangkah demi selangkah. Demi sesuap nasi melangsungkan hayatnya dan Mak Tua. Berlayarlah dia di lautan.

Dalam bot, dia menyeka peluh yang merenik di wajah. Perjalanan ke lubuk ikan yang dia sudah arif benar tempatnya masih jauh. Boleh saja kalau dia mahu memukat ikan di tempat yang terdekat. Tetapi, Pak Tua ingin lebih habuan kerana dia juga perlukan kenaikan. Kenaikan yang menggembirakan. Dalam nyanyian kipas enjin bot yang menderu, Pak Tua dikhayalkan untuk teringat seorang demi seorang anaknya yang telah berjaya. Kini seorang demi seorang pula menghilang tanpa khabar melainkan Azman. Azman saja yang masih setia berbakti kepadanya. Meski bakti itu ditipiskan dengan pencapaian hidup Azman yang kelabu.

Bot Pak Tua semakin laju memancung setiap lapisan ombak yang cuba menerkam. Ternaik-naik muncung depan bot seperti hendak naik terus membelah langit biru lalu berubah menjadi maju. Mungkin bot aku pun hendak terikut-ikut fenomena semua hendak naik akhir-akhir ini. Getus Pak Tua. Baguslah, sebuah petanda baik.
Kesedapan yang dibuat-buat itu disakat pula oleh kumpulan ikan yang mewakili alam. Jahatnya menentang. Jarang benar hendak naik. Sebaliknya berlumba-lumba untuk menyorok di celah-celah karang, di balik pepasir putih dan air yang jernih. Adakah alam bersama-sama isinya menentang kenaikan? Pak Tua tidak terdaya hendak berfikir. Dia memang sudah benar-benar tua. Hal ini bertambah menarik bila mana bukan Pak Tua saja yang merungut. Beberapa minggu lalu, Seman, nelayan veteran seusianya juga berkata hal yang sama. Hasil tangkapan semakin berkurangan.

“Kesyukuran yang tinggi tingkatannya, akan membenarkan seorang hamba untuk ke syurga melalui pintunya sendiri.” Tenang dan damailah mereka bila Lebai Aziz berkata begitu di surau kampung minggu lalu. Lenyap semua keraguan.
Dalam khayalnya itu, tanpa Pak Tua sedari, bot dinaiki secara beransur-ansur melemah. Potongannya terhadap ombak kejam tidak lagi tajam. Pergerakan semakin perlahan. Pak Tua terlupa. Dia tersilap percaturan.

Mak Tua
MAK Tua berjalan langkah demi langkah, cuba mengejar bunyi telefon yang laju berlari meninggalkan. Mata yang masih berkelip dipaksa untuk celik.
“Waalaikumussalam Man, lama benar kamu tak telefon. Ya, mak dan ayah sihat. Ayah kamu tak ada, pergi turun ke laut awal pagi tadi. Ada apa kamu tiba-tiba telefon?” Terus segar diri Mak Tua. Dia menarik kerusi plastik merah berhampiran untuk duduk kalau-kalau perbualannya berjela. Ah, perbualan dengan Azman manakan pernah pendek.

“Ya. Semua orang dah tahu pasal kenaikan. Semalam dalam berita ada mak tengok. Minyak masak, minyak wangi, minyak hitam, semuanya naik. Biasalah tu, bila naik maknanya negeri kita bertambah maju. Buat apa nak kecoh-kecoh.”
“Ha? Sekarang kamu kerja jual cecair yang dapat mengurangkan penggunaan minyak? Terbukti berkesan dan jimat sehingga, er setengah peratus? Banyak ke tu?”
“Menarik Man, menarik. Kalau kamu boleh sampai tengah hari ni dan bagi kami benda tu, alangkah gembiranya. Elok sangatlah. Dah lama kamu tak pulang. Rindu nak jumpa.” Hati Mak Tua dilambung-lambung perasaan gembira kerana akan dapat alat penjimatan minyak. Biarpun hanya setengah peratus, dia sudah mula berangan-angan untuk merubah taraf hidupnya. Dia berkira-kira sama ada penjimatan yang berlaku akan membenarkan dia membeli barang kemas baharu atau merubah status dirinya di kampung ini kelak.

“Apalah yang nak dikejarkan sangat. Balik saja esok hari. Senang. Boleh rasa dulu makan malam di rumah. Mak masak makanan kegemaran kamu.”
“Hum, kalau macam tu tak apalah. Jaga pelanggan kamu elok-elok. Cari duit. Moga-moga nanti kamu hidup senang. Mak dan ayah selalu mendoakan kamu. Yang penting usaha. Ingat pesan mak, rezeki semuanya pemberian Allah Azzawajalla. Selebihnya kita tawakal. Rungut banyak-banyak pun tak elok. Jaga diri ya, Wassalam.” Gagang telefon diletakkan.

Mak Tua bergegas ke kedai selepas bersiap ringkas. Cadangnya hendak beli barang sedikit, masak sedap-sedap. Maklum saja ada tetamu istimewa hendak bertandang.
Matahari sedikit mengganas. Bilah cahaya terbit di celah-celah daun menikam setiap yang berada di bumi, tidak ketinggalan tubuh Mak Tua. Habis lencun baju kurung yang digayakan dengan sehelai batik luntur. Tengah hari menyaksikan kampung ini sunyi tanpa bunyi, walau kicauan unggas sekalipun. Mak Tua berasa sebuah ketenangan menjalar.

“Esok awak hendak makan apa bangnya?” Mak Tua mengulang soalan sama setiap hari. Seleranya sudah lama dibunuh sejak berkahwin, lalu diabadikan dengan menjamah lauk kegemaran Pak Tua bersama-sama. Kasih sayangnya tidak terhingga. Pak Tua pula seakan tidak mahu mengalah. Dua jiwa yang sudah bersatu, lalu dalam diam masih ada bicaranya, dalam bicara ada nakhodanya.
“Ikut suka kamulah. Ikan yang saya tangkap tu pun sedap. Jimat malah.” Peha Mak Tua dicuit sambil mereka melihat drama dalam berita. Mesra walau sudah lama berkahwin.

Mak Tua menjejak realiti bila mana Kedai Runcit Haji Selamat kini terpacak depan mata. Usai membeli barang memasak, Mak Tua singgah ke kedai kopi. Hajatnya hendak melepas lelah. Penat benar. Tecungap-cungap. Tua tidak lagi membenarkan diri berjalan jauh.

Di kedai, yang ada hanya wanita. Lelaki hilang sama sekali kecuali sang pemilik kedai kopi. Mungkin mereka juga pergi mencari rezeki seperti diri Pak Tua. Mak Tua memilih tempat duduk di penjuru kedai. Mak Tua hairan melihat semua perempuan hanya memesan kopi O. Memang itu yang paling murah, tetapi apakah terdapatnya helah lain? Bencikan gula? Kencing manis menggila? Dia, seperti juga Pak Tua, tidak terdaya memikirkan lantas terus saja ikut sama memesan kopi O.

Hening dan kesenyapan yang mengapung tiba-tiba saja dipecahkan oleh sebuah jeritan. Gempar. Suara itu yang sering bersiponggang dan membelai penduduk kampung dengan ucapannya, sudah amat mereka kenal. Memang tidak salah lagi.
“Tolong! Tolong!!” Jeritannya bingit hingga menyakitkan telinga.

Beberapa perempuan bergegas ke luar. Tidak kurang beberapa orang sibuk menjengukkan kepala, meninjau-ninjau kejadian yang mengejutkan seisi kedai. Orang tersebut (lelaki dan berbaju Melayu) berlari laju. Perempuan yang keluar, mengutip beberapa biji kerikil dan baling serentak, sekuat hati mereka kepada binatang yang sedang mengejar lelaki itu. Malang. Kaki lelaki itu terseliuh dek jalan kampung yang tidak rata. Tersungkur. Buruk benar. Dia dijilat-jilat oleh anjing hitam yang mengejarnya. Ekor anjing itu bergoyang beberapa kali, ke kiri dan kanan, ke bawah, ke atas. Gembira metah. Manja dan suka sama lelaki tersebut. Bagai turut tahu, lelaki itu orang penting yang disukai ramai di kampung Indah.

“Sudahlah tuk penghulu, yang penting Tuk Penghulu selamat.” Kata salah seorang perempuan di situ memujuk setelah Tuk Penghulu kembali berdiri. Tok Penghulu mengarah pemilik kedai kopi memberi sedikit makanan kepada si anjing yang mungkin kelaparan sebenarnya. Kemudian Tok Penghulu sendiri memberi wang saku kepada perempuan-perempuan yang berada di kedai. Katanya, demi perbelanjaan yang semakin meningkat. Mak Tua beredar senyap-senyap dalam keriuhan orang ramai yang bersorak mengiringi Tok Penghulu. Sememangnya sejak azali, dia bencikan keramaian dan keriuhan.

Epilog
“MAN, kau baliklah. Ayah kamu memang selalu dekat Maghrib baharu pulang. Silap-silap dia lajak terus hingga ke Isyak, singgah mana-mana bukannya diberitahu. Kamu ni nak jalan jauh, karang penat pula.” Mak Tua seakan memaksa. Setelah dapat dan menyaksikan sendiri keberkesanan cecair yang dibawa, dia bertambah sayang pada Azman. Dia tidak mahu Azman bersusah-susah kerana dia dan Pak Tua. Dia kepingin benar melihat Azman berjaya seperti anak-anaknya yang lain. Biarlah dia pergi mengejar pelanggan dan kelihatan sedikit materialistik kerana hakikat sebenar adalah sebuah keperluan. Orang bisa memperkata apa saja.
“Tapi mak …”

“Tak ada tapi tapi lagi. Kamu naik kereta, singgahlah dulu surau kampung, mana tahu ayah di situ. Kalau tak ada, terus saja balik.” Pantas Mak Tua mencelah. Senja meremang terang dalam jingga yang fana. Perbualan dua beranak di tangga itu sambil angin yang meniup tersipu malu berakhir sayu. Lama benar mereka tidak berjumpa, tetapi diakhiri tanpa perjumpaan yang lengkap pula. Semuanya dalam terpaksa. Pemergian Azman dilambai sama pokok kelapa yang ikut menunduk.
Malam menyelimut alam. Di tangga, dalam Kampung Indah yang semakin menggelap, bulan menjadi saksi kepada Mak Tua yang masih setia menunggu kepulangan Pak Tua yang masih juga tidak kunjung tiba sejak Azman pulang petang tadi. Bulan membulat sedang mata Mak Tua mulai terkatup. Gelap.